Home » » Memetik Ibrah: Apa bukti kita cinta kepada Rasulullah?

Memetik Ibrah: Apa bukti kita cinta kepada Rasulullah?

    Sambutan Maulidur Rasul kian hampir. Sebahagian penduduk Taman Sentosa giat melakukan persiapan perarakan Maulidur Rasul. Sewaktu Ahmad dan Ismail sedang rancak berbual di rumah Ahmad, kedengaran satu suara memberi salam.

    “Waalaikumussalam warahmatullah. Oh, kau Sulaiman! Masuklah,” balas Ahmad.

    “Ada di sini rupanya kau Ismail, puas aku cari kau,” kata Sulaiman sambil tersenyum.

    “Ada apa kau cari aku?” tanya Ismail.

   “Aku nak ajak kau pergi perarakan Maulid Nabi hujung minggu ni,”pelawa Sulaiman.

    “Aku rasa mungkin tak pergi, aku nak berehat di rumah sahaja. Lagipun banyak kerja-kerja pejabat yang aku perlu siapkan,” ujar Ismail memberi alasan.

    Hakikatnya Ismail sudah serik pergi ke perarakan tahunan Maulidur Rasul. Keadaan cuaca yang panas, ditambah lagi dengan suasana orang ramai yang berhimpun menyebabkan dia tidak mahu menyertainya lagi.


    “Kau ni Ismail, asyik-asyik dengan kerja kau tu sahaja. Sesekali apa salahnya kita berhimpun dan berselawat beramai-ramai tanda kita cinta akan Rasulullah," kata Sulaiman.

     "Hari Maulidur Rasul inilah waktu yang terbaik untuk kita menunjukkan perasaan kasih dan sayang kita kepada baginda,” kata Sulaiman lagi.

    "Tak betul tu Man," celah Ahmad.

    "Salah ke apa yang aku cakap?" soal Sulaiman, cuba mendapatkan kepastian.

    "Kita sebagai umat Muhammad seharusnya menunjukkan rasa cinta kita kepada baginda setiap ketika," kata Ahmad pula.

    "Caranya ialah melakukan apa yang disuruh  dan tinggalkan apa yang ditegah, bukan hanya berselawat ke atas baginda sahaja," terang Ahmad lagi.

    "Aku setuju. Aku perhatikan ramai yang mengikuti perarakan hanya berselawat di bibir sahaja. Mereka melaung-laungkan slogan nabi adalah ikutan yang terbaik tapi segala tindak tanduk Nabi mereka tidak ikut. Semangat cintakan nabi mereka hanya sewaktu Maulidur Rasul sahaja, sesudah itu hancur lebur," sokong Ismail.

    Sulaiman diam seribu bahasa. Lidahnya kelu tidak berkata apa-apa. Dia hanya mampu mendengar sahaja.

    "Cuba kita muhasabah diri kita semula, sejauh mana kita  mengambil tahu tentang sirah kehidupan baginda? Dan apa yang paling penting setakat mana kita telah mempraktikkan sunnah nabi S.A.W yang mulia?" kata Ahmad, cuba membuka fikiran Sulaiman.

    "Kau ni macam menyindir aku sahaja. Aku tahu, banyak perkara yang aku tidak tahu tentang Rasulullah. Maklumlah aku bukan dari aliran sekolah agama macam kau, masuk universiti pun ambil jurusan peniagaan," kata Sulaiman mula bersuara.

    "Itu bukan persoalannya Sulaiman. Dari mana pun latar belakang pendidikan kita, ia tidak sepatutnya menjadi batu penghalang untuk kita mengenali Rasulullah dengan lebih dekat lagi," balas Ahmad.

    "Aku lihat kau jarang ke masjid. Di masjid sekarang ni setiap minggu ada pengajian Sirah Nabawiyah. Cubalah kau luangkan sedikit masa untuk tambah ilmu agama disamping kita menghidupkan sunnah baginda S.A.W dengan solat secara berjamaah," kata Ahmad meneruskan bicaranya.

    "Betul apa yang Ahmad katakan. Kadang-kadang kita lebih mengetahui tentang perkembangan artis-artis pujaan kita berbanding dengan Nabi Muhammad. Semua cerita baik dan buruk mereka kita tahu. Tapi tentang sirah nabi kita bagaikan acuh tidak acuh untuk mengetahuinya dengan lebih mendalam. Cuba kita bertanya kepada masyarakat sekeliling kita, berapa ramaikah yang memiliki buku Sirah Nabawiyah? Aku percaya, tak ramai yang ada," kata Ismail dengan penuh yakin.

    "Malu rasanya jika orang bukan Islam bertanyakan tentang nabi kita tetapi kita tak dapat menjawabnya," kata Ismail lagi.

    "Oh ya, malam ni ada ceramah sempena Maulidur Rasul di masjid kita kan?" soal Ahmad.

    "Ya, tajuknya Perjuangan Rasulullah Membanteras Amalan Jahiliyah. Kalau tak silap aku penceramahnya Ustaz Zahazan Mohamed," jawab Ismail.

    "Wah, penceramah yang hebat tu. Insya Allah malam ni aku datang. Aku balik bersiap dahulu ya. Waktu magrib semakin dekat." kata Sulaiman meminta diri.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Like

Popular Posts

Jom Singgah!!!

Himpunan Kata Hukama'

الوقاية خير من العلاج

Al- Wiqaayatu khoiru minal 'ilaaj

(Mencegah lebih baik dari mengubati)

خير الناس انفعهم للناس

Khoirun nasi ‘anfa’uhum linnas

(Sebaik-baik manusia ialah mereka yang memberi manfaat kepada orang lain)



Mutiara Hikmah Terkini

تنظيم الوقت اساس النجاح

Tanzimul wakti asasun najah

(Pengurusan masa asas kejayaan)

Klik di sini!!!