Test Footer 2

Akhisof.blogspot.com. Dikuasakan oleh Blogger.

Kisah dan Ibrah: Belajarlah untuk menghafaz Al-Quran

Alhamdulillah aku baru selesai menghafaz surah Al-Luqman. Termasuk surah ini aku telah berjaya menghafaz 5 surah. Menghafaz Al-Quran bukanlah perkara yang susah namun tidak mudah untuk memastikan ianya terus melekat di ingatan.

Aku masih teringat perbualan aku bersama seorang sahabat dua tahun yang lepas. Kami sama-sama menyertai ekpedisi ke Gunung Brinchang, Cameron Highlands. Sewaktu berada di dalam bas menuju ke sana aku melihat dia sedang membaca Al-Quran.


“Aku kagum dengan kau Talhah. Jarang aku jumpa orang yang membaca Al-Quran dalam bas,” kata aku yang duduk bersebelahan dengannya.

Dia melemparkan senyuman sambil berkata “Aku cuma mengisi masa yang terluang. Masa kita ni Ubaidah, kalau tidak diisi dengan perkara yang baik, maka perkara yang sia-sia akan mengisinya”.

Dia memetik surah Al-'Asr yang menceritakan tentang keadaan manusia yang rugi. Menurutnya andai manusia itu tidak mempunyai iman serta tidak mengerjakan amal soleh maka ia tergolong dalam kalangan mereka yang rugi.


Bacaannya yang baik menimbulkan tanda tanya dalam hatiku. Adakah dia seorang hafiz Al-Quran? Tambahan pula sewaktu dia menjadi imam dia sering membaca surah-surah yang jarang aku dengar. Ada kala bacaanya  panjang dan ada kala bacaannya pendek.

"Sebelum ni kau pernah tak belajar di Maahad Tahfiz?" Soalan itu ku lontarkan secara spontan.

"Kenapa kau tanya?” soal Talhah membalas pertanyaanku.

"Bila aku dengar kau baca, terasa macam berada di Mekah pula, saling tak tumpah macam bacaan Imam Masjidil Haram," usik aku.

Talhah ketawa. "Kau ni Ubaidah, terlalu puji melangit. Banyak lagi yang perlu aku baiki dan belajar. Tak layak kalau nak dibandingkan dengan imam besar tu," ujar Talhah merendah diri.

"Sebelum ni aku pernah memasang cita-cita untuk menjadi hafiz Al-Quran. Tapi hajat aku untuk menyambung pelajaran di Darul Quran selepas SPM tak kesampaian. Aku hanya meneruskan pelajaran di sekolah tinggi berdekatan dengan rumahku. Ibuku selalu sakit, ayahku pula sering turun ke laut mencari rezeki. Kadang-kadang dia tak pulang ke rumah selama 3 hari. Jadi akulah yang bertanggungjawab menjaga ibu," cerita Talhah mengimbau kisah lalu.


"Tapi hasratku untuk menghafaz Al-Quran tak pernah padam walaupun aku melanjutkan pelajaran di peringkat STPM. Aku cuba menghafaz sendiri bila waktu senggang antara Maghrib dan Isyak. Setiap malam sabtu aku akan pergi ke rumah Ustaz Muadz, imam di masjid aku. Dia lulusan Al Azhar dan menghafaz 30 juzuk. Aku meminta dia mengajarkan aku ilmu tajwid disamping memperbaiki bacaan dan hafazan aku," sambung Talhah lagi sambil membelek-belek helaian Al-Quran.

Aku teruja mendengar kisah hidupnya. Selain merupakan anak yang soleh dan bertanggungjawab, dia juga seorang yang gigih dalam mencapai keinginannya. Walaupun dia tidak dapat ke Darul Quran, namun ia tidak menjadi penghalang untuk dirinya menghafaz Al-Quran.

“Susah tak nak menghafaz Al-Quran?” soal aku ringkas.

“Mula-mula memanglah payah sikit. Lama-kelamaan Insya-Allah Allah akan memberikan kemudahan. Tapi nak menjaganya bukan mudah. Perlu selalu mengulang. Hati mesti dijaga dari dicemari oleh kotoran maksiat. Kalau tidak sukar nak mengingatinya semula, nak menghafaz pun payah,” terang Talhah.


"Dulu aku pernah juga teringin nak menghafaz Al-Quran tapi tiada kekuatan," luahku.

"Kekuatan itu perlu dicari. Jangan tunggu kekuatan datang baru terdetik nak menghafaz Al-Quran. Bak kata pepatah hendak seribu daya tak mahu seribu dalih,” balas Talhah pula.

“Kita sebagai seorang muslim perlu ada peningkatan dalam diri. Jangan terus-menerus berada di takuk lama. Cuba kau fikir berapa tahun kita menjadi seorang muslim dan berapa surah yang sudah berada dalam kepala kita selain dari ayat-ayat lazim yang selalu kita baca dalam solat?” kata Talhah kepadaku lagi.

Kata-katanya membuatkan aku terfikir sejenak. Terdorong untuk aku mengikuti jejak langkahnya. Sejak dari itu, hubunganku dengannya kian akrab. Kami saling bantu-membantu dalam menghafaz Al-Quran selain berguru dengan seorang ustaz di universiti kami untuk memperbaiki mutu bacaan.

Memetik Ibrah: Apa bukti kita cinta kepada Rasulullah?

    Sambutan Maulidur Rasul kian hampir. Sebahagian penduduk Taman Sentosa giat melakukan persiapan perarakan Maulidur Rasul. Sewaktu Ahmad dan Ismail sedang rancak berbual di rumah Ahmad, kedengaran satu suara memberi salam.

    “Waalaikumussalam warahmatullah. Oh, kau Sulaiman! Masuklah,” balas Ahmad.

    “Ada di sini rupanya kau Ismail, puas aku cari kau,” kata Sulaiman sambil tersenyum.

    “Ada apa kau cari aku?” tanya Ismail.

   “Aku nak ajak kau pergi perarakan Maulid Nabi hujung minggu ni,”pelawa Sulaiman.

    “Aku rasa mungkin tak pergi, aku nak berehat di rumah sahaja. Lagipun banyak kerja-kerja pejabat yang aku perlu siapkan,” ujar Ismail memberi alasan.

    Hakikatnya Ismail sudah serik pergi ke perarakan tahunan Maulidur Rasul. Keadaan cuaca yang panas, ditambah lagi dengan suasana orang ramai yang berhimpun menyebabkan dia tidak mahu menyertainya lagi.


    “Kau ni Ismail, asyik-asyik dengan kerja kau tu sahaja. Sesekali apa salahnya kita berhimpun dan berselawat beramai-ramai tanda kita cinta akan Rasulullah," kata Sulaiman.

     "Hari Maulidur Rasul inilah waktu yang terbaik untuk kita menunjukkan perasaan kasih dan sayang kita kepada baginda,” kata Sulaiman lagi.

    "Tak betul tu Man," celah Ahmad.

    "Salah ke apa yang aku cakap?" soal Sulaiman, cuba mendapatkan kepastian.

    "Kita sebagai umat Muhammad seharusnya menunjukkan rasa cinta kita kepada baginda setiap ketika," kata Ahmad pula.

    "Caranya ialah melakukan apa yang disuruh  dan tinggalkan apa yang ditegah, bukan hanya berselawat ke atas baginda sahaja," terang Ahmad lagi.

    "Aku setuju. Aku perhatikan ramai yang mengikuti perarakan hanya berselawat di bibir sahaja. Mereka melaung-laungkan slogan nabi adalah ikutan yang terbaik tapi segala tindak tanduk Nabi mereka tidak ikut. Semangat cintakan nabi mereka hanya sewaktu Maulidur Rasul sahaja, sesudah itu hancur lebur," sokong Ismail.

    Sulaiman diam seribu bahasa. Lidahnya kelu tidak berkata apa-apa. Dia hanya mampu mendengar sahaja.

    "Cuba kita muhasabah diri kita semula, sejauh mana kita  mengambil tahu tentang sirah kehidupan baginda? Dan apa yang paling penting setakat mana kita telah mempraktikkan sunnah nabi S.A.W yang mulia?" kata Ahmad, cuba membuka fikiran Sulaiman.

    "Kau ni macam menyindir aku sahaja. Aku tahu, banyak perkara yang aku tidak tahu tentang Rasulullah. Maklumlah aku bukan dari aliran sekolah agama macam kau, masuk universiti pun ambil jurusan peniagaan," kata Sulaiman mula bersuara.

    "Itu bukan persoalannya Sulaiman. Dari mana pun latar belakang pendidikan kita, ia tidak sepatutnya menjadi batu penghalang untuk kita mengenali Rasulullah dengan lebih dekat lagi," balas Ahmad.

    "Aku lihat kau jarang ke masjid. Di masjid sekarang ni setiap minggu ada pengajian Sirah Nabawiyah. Cubalah kau luangkan sedikit masa untuk tambah ilmu agama disamping kita menghidupkan sunnah baginda S.A.W dengan solat secara berjamaah," kata Ahmad meneruskan bicaranya.

    "Betul apa yang Ahmad katakan. Kadang-kadang kita lebih mengetahui tentang perkembangan artis-artis pujaan kita berbanding dengan Nabi Muhammad. Semua cerita baik dan buruk mereka kita tahu. Tapi tentang sirah nabi kita bagaikan acuh tidak acuh untuk mengetahuinya dengan lebih mendalam. Cuba kita bertanya kepada masyarakat sekeliling kita, berapa ramaikah yang memiliki buku Sirah Nabawiyah? Aku percaya, tak ramai yang ada," kata Ismail dengan penuh yakin.

    "Malu rasanya jika orang bukan Islam bertanyakan tentang nabi kita tetapi kita tak dapat menjawabnya," kata Ismail lagi.

    "Oh ya, malam ni ada ceramah sempena Maulidur Rasul di masjid kita kan?" soal Ahmad.

    "Ya, tajuknya Perjuangan Rasulullah Membanteras Amalan Jahiliyah. Kalau tak silap aku penceramahnya Ustaz Zahazan Mohamed," jawab Ismail.

    "Wah, penceramah yang hebat tu. Insya Allah malam ni aku datang. Aku balik bersiap dahulu ya. Waktu magrib semakin dekat." kata Sulaiman meminta diri.

Kongsi Cerita: Ustaz baru datang!!!

Hari demi hari silih berganti. Masa pun berlalu dengan pantasnya. Hari ini (11/8) merupakan hari kesebelas aku berpuasa. Kami sekeluarga dikhabarkan akan mendapat seorang penyewa rumah yang baru, seorang tenaga pengajar dari Mesir yang bakal berkhidmat di Sekolah Menengah Agama Pelangai (SMAP) berdekatan dengan rumahku. Aku dan ayah sibuk mengemas rumah (untuk disewa) bagi menyambut tetamu yang bakal tiba. Emak dan adik-adik pula ke sekolah.

Hari menjelang petang. Emak yang masih belum hilang penatnya sedang sibuk melakukan aktivitinya di dapur. Kami semua turut membantu dan melakukan tugas masing-masing. Seusai solat fardu Asar kelibat guru Arab itu masih belum kelihatan. Kami sekeluarga setia menunggu. Kira-kira jam 6 petang kelihatan 2 buah van meluru masuk ke kawasan rumahku.

Akhirnya dia sampai juga bersama 2 orang rakannya yang bakal mengajar di sekolah agama yang berbeza di Pahang. Aku terkesima melihat dua orang ustazku yang pernah mengajarku di Kulliah, Pekan turut serta bersama mereka. Lantas aku berjumpa dengan mereka. Ku hulurkan salam kepada Ustaz Lebai Idris yang kini bekerja di JAIP dan Ustaz Hussin, seorang guru Arab yang pernah mengajarku subjek Usul Fiqh. Mereka membalas dengan senyuman. Alhamdulillah mereka masih mengenaliku.

Ustaz Lebai – tetap hensem

Sebelum magrib tiba, kami dan ustaz Arab itu menjejakkan kaki ke surau. Kami bersama penduduk kampung hanya berbuka kurma dan air masak. Pengetua SMAP turut meraikannya. Sesudah solat maghrib, ayah menjemput tetamu kami dan pengetua, Cikgu Nassir makan di rumah. Mereka berbual dalam bahasa Arab. Kelihatan Cikgu Nassir tidak kekok berbahasa arab walaupun bukan seorang ustaz.

Alunan zikir mula kedengaran sebelum Isyak. Aku sempat berbual dengan ustaz arab itu. Namanya Muhsin. Banyak soalannya yang ditujukan padaku. Ada kata-katanya yang tak bisa ku tangkap kerana kata-katanya meluncur laju. Segenap perkataan arab cuba ku himpunkan dalam kepala. Namun masih ada perkataan yang tidak ku tahu. Aku hanya menjawab La Adri (tidak tahu) bila dia menyoalku mengapa tidak ke Mesir setelah tamat di Kulliah. Sebenarnya aku ada jawapannya. Cuma aku tak tahu bagaimana nak terjemahkannya ke dalam bahasa Arab. Jadi hanya dengan menjawab “tidak tahu” mampu membalas pertanyaannya.

Kulliah SAB – disinilah tempat aku ambil STAM

Walaupun hanya sepatah dua saja yang aku tahu, namun ku harapkan semoga kehadiran guru Arab itu boleh membantu aku dan adik-adik bertutur dalam bahasa Arab dengan lebih baik. Ayah dan atukku yang mahir dalam bahasa arab juga kini mempunayai teman untuk berbual. Semoga perkataan-perkataan arab terus melekat di ingatan.




Like

Popular Posts

Jom Singgah!!!

Himpunan Kata Hukama'

الوقاية خير من العلاج

Al- Wiqaayatu khoiru minal 'ilaaj

(Mencegah lebih baik dari mengubati)

خير الناس انفعهم للناس

Khoirun nasi ‘anfa’uhum linnas

(Sebaik-baik manusia ialah mereka yang memberi manfaat kepada orang lain)



Mutiara Hikmah Terkini

تنظيم الوقت اساس النجاح

Tanzimul wakti asasun najah

(Pengurusan masa asas kejayaan)

Klik di sini!!!