Home » » Kisah dan Ibrah: Belajarlah untuk menghafaz Al-Quran

Kisah dan Ibrah: Belajarlah untuk menghafaz Al-Quran

Alhamdulillah aku baru selesai menghafaz surah Al-Luqman. Termasuk surah ini aku telah berjaya menghafaz 5 surah. Menghafaz Al-Quran bukanlah perkara yang susah namun tidak mudah untuk memastikan ianya terus melekat di ingatan.

Aku masih teringat perbualan aku bersama seorang sahabat dua tahun yang lepas. Kami sama-sama menyertai ekpedisi ke Gunung Brinchang, Cameron Highlands. Sewaktu berada di dalam bas menuju ke sana aku melihat dia sedang membaca Al-Quran.


“Aku kagum dengan kau Talhah. Jarang aku jumpa orang yang membaca Al-Quran dalam bas,” kata aku yang duduk bersebelahan dengannya.

Dia melemparkan senyuman sambil berkata “Aku cuma mengisi masa yang terluang. Masa kita ni Ubaidah, kalau tidak diisi dengan perkara yang baik, maka perkara yang sia-sia akan mengisinya”.

Dia memetik surah Al-'Asr yang menceritakan tentang keadaan manusia yang rugi. Menurutnya andai manusia itu tidak mempunyai iman serta tidak mengerjakan amal soleh maka ia tergolong dalam kalangan mereka yang rugi.


Bacaannya yang baik menimbulkan tanda tanya dalam hatiku. Adakah dia seorang hafiz Al-Quran? Tambahan pula sewaktu dia menjadi imam dia sering membaca surah-surah yang jarang aku dengar. Ada kala bacaanya  panjang dan ada kala bacaannya pendek.

"Sebelum ni kau pernah tak belajar di Maahad Tahfiz?" Soalan itu ku lontarkan secara spontan.

"Kenapa kau tanya?” soal Talhah membalas pertanyaanku.

"Bila aku dengar kau baca, terasa macam berada di Mekah pula, saling tak tumpah macam bacaan Imam Masjidil Haram," usik aku.

Talhah ketawa. "Kau ni Ubaidah, terlalu puji melangit. Banyak lagi yang perlu aku baiki dan belajar. Tak layak kalau nak dibandingkan dengan imam besar tu," ujar Talhah merendah diri.

"Sebelum ni aku pernah memasang cita-cita untuk menjadi hafiz Al-Quran. Tapi hajat aku untuk menyambung pelajaran di Darul Quran selepas SPM tak kesampaian. Aku hanya meneruskan pelajaran di sekolah tinggi berdekatan dengan rumahku. Ibuku selalu sakit, ayahku pula sering turun ke laut mencari rezeki. Kadang-kadang dia tak pulang ke rumah selama 3 hari. Jadi akulah yang bertanggungjawab menjaga ibu," cerita Talhah mengimbau kisah lalu.


"Tapi hasratku untuk menghafaz Al-Quran tak pernah padam walaupun aku melanjutkan pelajaran di peringkat STPM. Aku cuba menghafaz sendiri bila waktu senggang antara Maghrib dan Isyak. Setiap malam sabtu aku akan pergi ke rumah Ustaz Muadz, imam di masjid aku. Dia lulusan Al Azhar dan menghafaz 30 juzuk. Aku meminta dia mengajarkan aku ilmu tajwid disamping memperbaiki bacaan dan hafazan aku," sambung Talhah lagi sambil membelek-belek helaian Al-Quran.

Aku teruja mendengar kisah hidupnya. Selain merupakan anak yang soleh dan bertanggungjawab, dia juga seorang yang gigih dalam mencapai keinginannya. Walaupun dia tidak dapat ke Darul Quran, namun ia tidak menjadi penghalang untuk dirinya menghafaz Al-Quran.

“Susah tak nak menghafaz Al-Quran?” soal aku ringkas.

“Mula-mula memanglah payah sikit. Lama-kelamaan Insya-Allah Allah akan memberikan kemudahan. Tapi nak menjaganya bukan mudah. Perlu selalu mengulang. Hati mesti dijaga dari dicemari oleh kotoran maksiat. Kalau tidak sukar nak mengingatinya semula, nak menghafaz pun payah,” terang Talhah.


"Dulu aku pernah juga teringin nak menghafaz Al-Quran tapi tiada kekuatan," luahku.

"Kekuatan itu perlu dicari. Jangan tunggu kekuatan datang baru terdetik nak menghafaz Al-Quran. Bak kata pepatah hendak seribu daya tak mahu seribu dalih,” balas Talhah pula.

“Kita sebagai seorang muslim perlu ada peningkatan dalam diri. Jangan terus-menerus berada di takuk lama. Cuba kau fikir berapa tahun kita menjadi seorang muslim dan berapa surah yang sudah berada dalam kepala kita selain dari ayat-ayat lazim yang selalu kita baca dalam solat?” kata Talhah kepadaku lagi.

Kata-katanya membuatkan aku terfikir sejenak. Terdorong untuk aku mengikuti jejak langkahnya. Sejak dari itu, hubunganku dengannya kian akrab. Kami saling bantu-membantu dalam menghafaz Al-Quran selain berguru dengan seorang ustaz di universiti kami untuk memperbaiki mutu bacaan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Like

Popular Posts

Jom Singgah!!!

Himpunan Kata Hukama'

الوقاية خير من العلاج

Al- Wiqaayatu khoiru minal 'ilaaj

(Mencegah lebih baik dari mengubati)

خير الناس انفعهم للناس

Khoirun nasi ‘anfa’uhum linnas

(Sebaik-baik manusia ialah mereka yang memberi manfaat kepada orang lain)



Mutiara Hikmah Terkini

تنظيم الوقت اساس النجاح

Tanzimul wakti asasun najah

(Pengurusan masa asas kejayaan)

Klik di sini!!!